Zikir penguat iman, hubungan manusia dengan Allah





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





 

MERAGANG, Sabtu, 27 April. - Zikir merupakan salah satu bentuk ibadah yang sangat dianjurkan dan memiliki nilai yang tinggi. Terdapatnya banyak ayat dalam kitab Al-Quran, Allah Subhanahu Wata'ala mengajak umat manusia untuk berzikir dan mengingat-Nya secara terus-menerus.

 

Manfaat zikir juga menjadi cara untuk memperkuat hubungan seseorang dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan dapat membantu seseorang untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

 

Demikian antara pengisian tazkirah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Aziman bin Haji Awang Zaman pada Majlis Perhimpunan Malam Munajat Kali Ke-132 diadakan pada malam tadi secara fizikal dengan tumpuan utama di Masjid Az-Zakireen, Meragang, di sini.

 

Selain itu, Awang Haji Aziman menjelaskan bahawa zikir juga dianggap sebagai bentuk pengingat diri untuk selalu mengingat Allah Subhanahu Wata'ala dalam segala aspek kehidupan, baik dalam keadaan senang mahupun sedih, suka mahupun duka. Dalam Islam, tambahnya, zikir juga dianggap sebagai sarana untuk membersihkan hati dari segala macam keburukan dan menguatkan iman seseorang.

 

Menurutnya, secara praktiknya, zikir dilakukan dengan mengucapkan lafaz atau kalimat-kalimat tertentu secara terus menerus dengan niat dan kesedaran penuh. Beberapa contoh zikir yang sering dilakukan antara lain Subhanallah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah), Allahuakbar (Allah Maha Besar), La ilaha illa Allah (Tidak ada Tuhan selain Allah), dan Astaghfirullah.

 

Hadir mengimarahkan majlis anjuran KHEU dengan kerjasama Kementerian Pembangunan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

 

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Awang Abd. Halim bin Haji Jainih@Zaini yang merupakan qari dari Kementerian Pembangunan.

 

Majlis diteruskan dengan Doa Munajat dibacakan oleh Pengarah Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Haji Mohammad Azmi bin Haji Omar.

 

Majlis diimarahkan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah oleh para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan kemudiannya diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Az-Zakireen, Meragang, Awang Haji Nurhidayatullah bin Haji Zulkifli.

 

Turut hadir, warga kerja dari KHEU dan Kementerian Pembangunan. Juga menyemarakkan, Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah yang hadir secara fizikal di Masjid Az-Zakireen, Meragang mahupun secara maya dari masjid-masjid termasuk  surau dan balai ibadah di seluruh negara serta dari rumah-rumah persendirian.

 

Close